comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rayuan Najib gugurkan 2 peguam Tommy Thomas, ditolak mahkamah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak bagi menggugurkan dua peguam Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili Tan Sri Tommy Thomas, dalam perbicaraan saman RM1.9 juta dikemukakan bekas Perdana Menteri itu terhadap bekas Peguam Negara terbabit.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lalu, yang menolak permohonannya untuk menggugurkan peguam, Alan Adrian Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung iaitu rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Tommy dalam kes saman berkenaan.

Bekas Perdana Menteri itu memohon pengisytiharan bahawa Tommy menyalahgunakan jawatan awam dan menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi, termasuk yuran perundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta menangani pendakwaan terhadapnya.

Beliau mendakwa tidak wajar Gomez dan Wei Shiung mewakili Tommy kerana ketiga-tiga mereka daripada firma guaman sama yang diasaskan bekas Peguam Negara itu.

Najib menyaman Tommy membabitkan pertuduhan di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain itu, saman berkaitan pendakwaan atas kes pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia selari dengan perancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Pada 25 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Tommy untuk membatalkan saman terbabit, namun Najib membuat rayuan yang akan didengar pada 4 Oktober ini.

Loading...
Terkini