comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib dapatkan dokumen babit dana 1MDB

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak gagal dalam rayuannya untuk mendapatkan 19 dokumen perbankan berhubung syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz untuk perbicaraan kesnya melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MBD).

Keputusan sebulat suara oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan.

 

Datuk Nordin ketika membacakan keputusan penghakiman berkata, Mahkamah Tinggi tidak melakukan kekhilafan dalam membuat keputusan berkenaan, sekaligus Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tersebut.

Pada 12 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak dua permohonan Datuk Seri Najib yang meminta pendakwaan perbicaraan kes 1MDB mendedahkan dokumen perbankan dikaitkan dengan keluarga Tan Sri Zeti.

Ia susulan dakwaan keluarga bekas Gabenor BNM itu dikatakan menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Taek Jho juga dikenali sebagai Jho Low.

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan pada 24 Mac tahun lalu untuk meminta pihak pendakwaan memberikan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Tan Sri Zeti dalam kes 1MDB.

Datuk Seri Najib juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala Datuk Seri Najib diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Datuk Seri Najib, 68, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos lalu.

Loading...
Terkini