Tumpuan :
Mahkamah

Najib Razak Fail Semakan Kehakiman, Mohon Hadir Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu.

Permohonan itu difailkan melalui peguamnya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini pada jam 1 tengah hari.

Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mengesahkan langkah itu ketika dihubungi media, berkata Najib memohon dua perisytiharan dalam permohonan berkenaan iaitu diberikan kebenaran akses kepada pegawai parlimennya bagi menjalankan fungsi beliau sebagai ahli Parlimen.

“Permohonan kebenaran itu juga bagi perisytiharan beliau dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Rakyat,” katanya melalui aplikasi Whatsapp.

Isnin lalu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam sidang media, berkata Jabatan Penjara menolak permohonan Najib untuk hadir pada persidangan Dewan Rakyat atas alasan faktor keselamatan.

Peguam itu berkata, Jabatan Penjara menolak permohonan anak guamnya yang dibuat pada 19 September lalu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini