comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Padah rogol, amang seksual anak kandung, mekanik dipenjara 18 tahun

 

SEREMBAN: Seorang mekanik terpaksa meringkuk 18 tahun dalam penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal melampau terhadap anak perempuannya pada 2017 dan 2018.

Tertuduh, 47 tahun turut dikenakan hukuman 13 sebatan oleh Hakim Datin Surita Budin.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada empat anak itu didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun ketika kejadian di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Bahau, Jempol, jam 12.01 tengah malam antara 20 hingga 31 Disember 2017.

Mekanik (kanan) turut dikenakan hukuman 13 sebatan selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual melampau terhadap anak perempuannya pada 2017 dan 2018. – FOTO: NSTP

Dakwaan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat sehingga 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak (mangsa sama) di lokasi sama jam 12.01 tengah malam dari 11 hingga 20 April 2018.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan  maksimum dua sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah supaya meringankan hukumannya kerana isterinya hanya seorang suri rumah dan menanggung empat anak masih bersekolah.

“Saya mengaku melakukan kesalahan ini dan benar-benar insaf dengan perbuatan saya yang keji itu. Saya benar-benar menyesal Yang Arif. Keadaan kesihatan saya juga tidak mengizinkan kerana ada kencing manis, darah tinggi dan asma, ” katanya dalam rayuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kejadian ini memberi kesan trauma yang serius jangka panjang kepada mangsa .

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan serta tambahan dua tahun penjara dengan dua sebatan.

Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap, 3 April lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa pernah memberitahu ibunya tentang perbuatan terkutuk bapa kandungnya itu selepas berasa sakit di bahagian kemaluan tetapi ibunya tidak percaya.

Kemudian, pada tahun ini, ia terbongkar apabila mangsa yang berusia 17 tahun meluahkan masalah itu kepada rakannya dan kemudian mereka memberitahu guru sebelum membuat laporan polis menyebabkan tertuduh ditahan 3 April lalu.

Loading...
Terkini