comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pengarah syarikat cetak didenda RM8,000 gagal patuhi syarat lesen cetak Al-Quran


Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Pengarah syarikat didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi syarat-syarat mencetak atau menerbitkan Teks Al-Qur’an bulan lalu.

Majistret Farah Azura Mohd Saad, mengenakan hukuman denda itu kepada Muhammad Hatim Ab Wahab, 34, selepas mengaku bersalah tidak mematuhi syarat-syarat lesen untuk menerbitkan Teks Al-Qur’an yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Qu’ran iaitu dengan membenarkan sebanyak 3,800 naskah Al-Qur’an dijilidkan oleh Hua Mei Industry Sdn Bhd yang merupakan syarikat dimiliki oleh orang bukan beragama islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah syarikat penjilidan di Seri Kembangan pada 3.05 petang, 7 Mac lepas.

Pertuduhan dilakukan Mengikut Seksyen 5(7) Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima bulan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang merupakan pengarah Syarikat Tihani Cetak Sdn Bhd dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Surieyani A Razak memohon hukuman sewajar diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh namun Muhammad Hatim yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini