comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Wanita, teman lelaki hadapi tuduhan bunuh anak

Mary Teh, 44, dan teman lelaki, Puvaneswaran, 29, didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia lima tahun. Foto NSTP

PETALING JAYA: Seorang ibu kandung dan kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Mary Teh May Yee, 44, dan S Puvaneswaran, 29, didakwa bersama-sama membunuh kanak-kanak lelaki, Teh Joseph di sebuah unit rumah di Jalan PUJ 3/2, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada jam 12.55 tengah malam, 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wanita itu yang juga penganggur dan teman lelakinya didakwa melakukan kesalahan terbabit yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding sama, Puvaneswaran yang juga pemandu lori mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan keterangan bertulis palsu terhadap anggota polis, iaitu Konstabel Rashmit Kaur Harpajan Singh.

Tindakan itu menyebabkan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Che Ashru Nizam Che Abdul Rahman melakukan siasatan yang tidak perlu dilakukan, sekiranya keadaan sebenar kejadian dimaklumkan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan, jam 2.57 pagi, 22 Ogos lalu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan .

Hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes bunuh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula semua kes.

Loading...
Terkini