comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiga Beranak Didakwa Dera Kanak-Kanak Perempuan

Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

KUALA PILAH:  Tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lepas. 

Pasangan suami isteri, R. Guna Silan, 42, K. Nagamah, 41, dan anak perempuan mereka G.Nisha, 21,  didakwa bersama-sama sebagai penjaga kepada kanak-kanak itu.

Mereka didakwa telah mendera mangsa dengan menggunakan rotan dan memukulnya, menendang serta menyimbah air panas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol antara 15 hingga 19 Julai lepas.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di seluruh bahagian badan iaitu di bahagian dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki, kepala dan muka.

Kes didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Peguam tertuduh Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang minimum berikutan kesemua tertuduh memberikan kerjasama yang baik dengan polis selain salah seorang tertuduh bakal melanjutkan pengajian di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, IPTA pada bulan September ini.  

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi mencadangkan agar ketiga-tiga tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Hakim Norma Ismail membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes.

Loading...
Terkini