comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pemandu mabuk mengaku tak bersalah langgar atlet kayak kebangsaan

Tertuduh, R. Dhinesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mendatangkan kecederaan kepada atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu penyelia kilang didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias, Sabtu lalu.

Tertuduh, R Dhinesh, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Tertuduh didakwa memandu kereta Toyota Vios dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 178 miligram/100 milimeter, 50 miligram melebihi daripada had ditetapkan iaitu 128 miligram/100 milimeter.

Siti Nurul Masyitah tidak sedarkan diri selama beberapa hari selepas kereta yang dipandu tertuduh merempuh dan mengheretnya sejauh kira-kira 600 meter.

Mengikut laporan media, Siti Nurul Masyitah, 22, mengalami kecederaan parah apabila retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat kejadian itu.

Dhinesh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di sini,kira-kira jam 4.19 petang pada 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 dengan lesen memandu dibatalkan dan hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu maksimum tujuh tahun daripada tarikh sabitan, selain lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Pegawai Pendakwa memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan ke atas tertuduh.

“Lesen memandu tertuduh juga dimohon untuk digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali,” katanya.

Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana gajinya sebagai pembantu penyelia kilang tidak sampai RM2,000 sebulan.

“Saya tidak ada RM20,000 dan tidak mampu bayar jaminan tinggi kerana kerja jaga stor kilang sahaja. Saya juga perlu tanggung ayah selepas kematian ibu,” katanya.

Majistret kemudian tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, lesen memandunya digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali.

Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, kemalangan itu berlaku ketika kereta dipandu suspek merempuph motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang.

Beliau berkata suspek mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa.

Mangsa kini dilaporkan masih dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri di sini manakala tertuduh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan mendapati suspek memiliki tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini