comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Zeti tuntut Muhammad Shafee tunjuk bukti keluarganya terima wang 1MDB

Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, hadir bagi sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menuntut peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti berhubung dakwaan suami dan ahli keluarganya menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam prosiding yang sedikit tegang hari ini, Muhammad Shafee memulakan sesi soal-jawab dengan menyoal Zeti sama ada BNM menerima maklumat dari unit risikan Singapura mengenai beberapa transaksi yang tidak menyenangkan berkaitan keluarga Zeti.

Zeti bagaimanapun menjawab pertanyaan itu dengan menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan menjelaskan bahawa suaminya memiliki sebuah syarikat pengurusan aset, yang menerima wang daripada pelabur di luar negara.

Perbicaraan hari ini bertukar menjadi semakin panas apabila Muhammad Shafee mengemukakan akuan bersumpah (SD) oleh suami Zeti iaitu Datuk Tawfiq Ayman yang menyatakan bahawa beliau (Tawfiq) melucutkan haknya terhadap sejumlah wang dalam syarikat Cutting Edge Industries Ltd yang perlu dipulangkan semula kepada 1MDB.

Pada peringkat itu, Muhammad Shafee bertanya sama ada Zeti mengetahui bahawa suami dan anaknya menerima wang daripada 1MDB melalui syarikat Cutting Edge Industries Ltd yang mana Tawfiq adalah salah seorang pemiliknya.

Zeti menjawab, beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai akaun syarikat berkenaan atau wang dalam akaun serta siapa pelaburnya.

Muhammad Shafee: Takkan suami atau anak tidak pernah memberitahu mengenai wang…

Zeti: Tunjukkan saya buktinya. Tunjukkan kepada saya aliran keluar wang 1MDB dalam akaun syarikat itu.

Muhammad Shafee: Bila anda berkata ahli keluarga tidak pernah menerima wang 1MDB, awak sebenarnya membuat kenyataan tanpa mengetahui mengenai SD ini?

Zeti: Ini kali pertama saya melihat SD ini dan ia tidak menyatakan suami saya menerima wang (1MDB) tetapi ia berkaitan wang yang dipulangkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, suasana tegang itu berjaya ditenangkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menyatakan bahawa peguam bela boleh mengemukakan soalan, tetapi mesti ada batasannya.

Zeti kemudian memaklumkan kepada mahkamah, beliau tetap dengan kenyataannya yang tidak mengetahui mengenai SD itu, dan Muhammad Shafee kemudian diminta hakim membangkitkan isu terbabit dalam hujahannya.

Sementara itu, di awal sesi soal balas, Zeti memaklumkan kepada mahkamah, suaminya menjalankan perniagaan pengurusan aset di mana akaun syarikat berpangkalan di Singapura.

Menurutnya, suaminya memaklumkan bahawa beliau (Tawfiq) sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa di Singapura mengenai transaksi meragukan mengenai sejumlah wang yang didepositkan ke dalam akaun syarikat oleh satu pelabur.

Kata Zeti, suaminya kemudian menulis surat kepada institusi kewangan Singapura mengenai transaksi terbabit dan meminta pihak berkuasa memulangkan wang berkenaan kepada pelabur.

“Saya percaya, pihak pembelaan mempersoalkan mengenai wang berkenaan kerana ia sudah dipulangkan ke Malaysia,” katanya.

Diminta peguam sama ada beliau boleh mengemukakan surat berkenaan, Zeti berkata ia berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih menjalankan siasatan.

Artikel berkaitan: Najib tidak pernah tanya sumber transaksi dalam akaunnya

Najib minta BNM keluarkan surat bersihkan nama – Zeti

Loading...
Terkini