comscore
Tumpuan :
Nasional

10,842 permohonan dokumen pengenalan diri diluluskan melalui MEKAR

Badrul Hisham (tiga dari kanan) menyampaikan kad pengenalan diri baharu kepada salah seorang penghuni pada program MEKAR Santunan Kasih Warga Emas Rumah Seri Kenangan (RSK), di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meluluskan 10,842 permohonan dokumen pengenalan diri melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang diadakan di seluruh negara bermula Januari sehingga 15 Mac lalu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias, berkata permohonan itu diperoleh melalui pelaksanaan 441 program MEKAR yang dibahagikan kepada kategori MEKAR Ihsan, MEKAR Komuniti, MEKAR Identiti, MEKAR Pahlawan dan MEKAR Diaspora.

Beliau berkata, dokumen yang dipohon serta diluluslan termasuk sijil lahir, kad pengenalan diri, sijil kewarganegaraan, sijil perkahwinan bukan Islam dan sijil kematian.

“Selain proses meluluskan dokumen pengenalan diri, JPN turut menerima 4,784 khidmat nasihat kepada yang memerlukan. Kami menyasarkan 1,500 program diadakan sepanjang tahun, justeru lebih banyak lagi akan diadakan selepas ini untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Jumlah yang diluluskan sepanjang beberapa bulan ini menunjukkan peningkatan yang ketara kerana sepanjang tahun lalu kami menerima permohonan sebanyak 29,330 untuk sepanjang 2023.

“Program MEKAR JPN adalah satu program turun padang yang mana memudahkan mereka yang layak menguruskan permohonan pengenalan diri, sekali gus memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima hak mereka,” katanya pada sidang media selepas program MEKAR Santunan Kasih Warga Emas Rumah Seri Kenangan (RSK), di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Sarinah Apisah dan Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab Razak.

JPN turut menyerahkan sebanyak 12 kad pengenalan diri baharu kepada penghuni RSK selain menyampaikan sumbangan biskut raya.

Badrul berkata, setakata ini mengikut statistik tiga negeri yang paling tinggi menghantar permohonan kepada JPN ialah Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sabah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini