comscore
Tumpuan :
Nasional

Arwah teruja sangat nak balik kampung – Suami

Isteri anggota polis dan dua anak maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori di KM17, Jalan Lipis-Benta pada jam 3.35 pagi tadi. – FOTO: Ihsan PDRM

KUALA LIPIS: “Arwah isteri sangat teruja balik kampung, jadi saya izinkan dia pulang bersama anak,” kata Mohd Azman Mat Yaacob, suami kepada Nor Faizah Ridzuan, 34, yang maut bersama dua anak dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.35 pagi itu, mangsa bersama dua anak, Muhammad Hariz Adrian, 10 dan anak angkat, Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

Mohd Azman berkata, sebelum ini, dia memujuk isterinya agar tidak bertolak pulang ke Bachok pada tengah malam dan mencadangkan balik ke kampung pada pagi ini.

“Tetapi arwah sangat teruja untuk bertemu adik-beradik serta saudara mara menjelang cuti sekolah yang bermula hari ini.

“Oleh kerana arwah sangat teruja untuk balik, saya membenarkan dia pulang dan berjanji menjemput balik pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis, hari ini.

Mohd Azman yang juga anggota polis bertugas Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya berkata, dia menerima maklumat berkaitan kejadian menerusi abangnya kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Untuk kepastian, saya menghubungi cawangan trafik IPD Kuala  Lipis yang mengesahkan kejadian itu. Saya sangat sedih dan meminta izin daripada pegawai yang bertugas di IPD Petaling Jaya untuk ke Lipis menguruskan jenazah isteri dan anak,” katanya.

Dalam kejadian itu, Perodua Alza dinaiki tiga beranak hilang kawalan semasa melalui selekoh, menyebabkannya masuk ke laluan bertentangan dan merempuh treler.

Kemalangan menyebabkan kereta itu diseret treler dan merempuh besi penghadang jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, IPD Lipis memberikan bantuan penuh kepada keluarga Mohd Azman menguruskan jenazah isteri dan anaknya untuk disemadikan di kampung halaman selepas bedah siasat.

“Jenazah akan dihantar pulang ke Bachok oleh kenderaan Kontinjen Polis Selangor pada hari ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini