comscore
Tumpuan :
Nasional

13 kematian akibat kes Rabies di Sarawak

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mencatatkan 15 kes rabies termasuk 13 kematian dalam kalangan manusia di Sarawak sejak 1 Januari hingga 7 Ogos tahun ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh kes atau 87.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Huck berkata, peningkatan itu sekaligus menjadikan keseluruhan sebanyak 70 kes dengan 63 kematian direkodkan di negeri berkenaan sejak wabak tersebut diisytiharkan pada Julai 2017.

“Daripada keseluruhan 15 kes itu, Sibu merekodkan kes tertinggi dengan lima kes disusuli Serian (4), Kuching (3), Bintulu (2) dan Samarahan satu kes.

“Sebelas kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit anjing, dua kes mempunyai sejarah digigit atau dicakar kucing, manakala dua kes tidak mempunyai sejarah pendedahan yang jelas,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, daripada 13 kes yang mempunyai sejarah digigit anjing dan dicakar kucing, lapan kes atau 61.54 peratus daripadanya tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana kemudahan kesihatan selepas digigit atau dicakar oleh haiwan berkenaan.

Jelas beliau, terdapat 11 hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) kepada kes-kes berisiko tinggi.

Kata Dr Ooi Choo Huck, pesakit perlu pastikan vaksin anti-rabies lengkap diterima mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan dan tidak mengendalikan sebarang haiwan liar termasuk anjing serta kucing sama ada hidup mahupun telah mati.

“JKN Sarawak akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Jabatan Veterinar Sarawak (DVS) dalam usaha mencapai Sarawak dan Malaysia yang bebas rabies menjelang tahun 2030.

“Justeru, adalah diharapkan agar masyarakat sentiasa mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak KKM, pihak berkuasa dan agensi berkaitan,” katanya.

Loading...
Terkini