comscore
Tumpuan :
Nasional

199,605 kg karkas babi bernilai RM4.3juta dirampas 

Antara karkas babi sejuk beku yang tidak dibenarkan import dari Brazil dan Russia dirampas JPV. FOTO: Ihsan JPV

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) merampas sebanyak 199,605 kilogram karkas babi sejuk beku yang tidak dibenarkan import dari Brazil dan Russia menerusi dua peringkat serbuan.

JPV dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu diambil lanjutan hasil risikan kemasukan karkas babi sejuk beku diimport dari dua negera berkenaan tidak disenaraikan di Subseksyen 5(1)(b) Akta Binatang 1953 [Akta 647].

Katanya, operasi penguatkuasaan itu dijalankan secara dua peringkat pada Mei hingga Jun lalu dan bulan ini di lokasi-lokasi yang sudah dikenal pasti.

“Hasil operasi itu, JPV berjaya merampas karkas babi diimport dari Brazil dan Russia dan karkas babi yang tidak berlabel di 11 lokasi iaitu tujuh di Selangor dan empat di Johor.

“Jumlah keseluruhan rampasan karkas babi adalah sebanyak 199,605 kilogram atau 199.605 tan metrik. Selain itu, lima kontena, satu mesin pengikat tali untuk kotak dan 59 gelung tali pengikat turut dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi berkenaan dianggarkan berjumlah RM4.3 juta,” katanya.

Menurutnya, kesemua karkas babi yang dirampas itu dilupuskan selepas permohonan perintah pelupusan di bawah Subseksyen 68(3) Akta Binatang 1953 diluluskan oleh pihak mahkamah.

“Sembilan kes disiasat di bawah Subseksyen 5(1)(b) Akta Binatang 1953 [Akta 647] berkaitan karkas babi dari Brazil dan Russia yang tidak disenaraikan sebagai negara yang dibenarkan import.

“Dua lagi kes disiasat di bawah Subkaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953 kerana memiliki karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan berdasarkan tiada apa-apa tanda lagenda pada karkas,” katanya.

Katanya, JPV mengambil perhatian serius berkaitan perkara itu kerana ia memberi kesan dalam aspek kawalan penyakit berpunca daripada ternakan terutama penyakit African Swine Fever (ASF) yang boleh menjejaskan industri penternakan babi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pengimport, penyimpan dan penjualan karkas babi bagi memastikan pengimportan karkas babi adalah dari negara dibenarkan di bawah Subseksyen 5(1)(b), Akta Binatang 1953 [Akta 647].“

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini