comscore
Tumpuan :
Nasional

200 daripada 300 kanak-kanak mengaku hisap vape 2 kali seminggu – dakwa CAP

Sebahagian murid dan pelajar yang menyertai program kesedaran merokok, vape dan penggunaan e-rokok dianjurkan CAP di beberapa sekolah rendah dan menengah.- Foto NSTP/ Ihsan CAP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan sebilangan besar kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun mengakui mencuba vape dan e-rokok kepunyaan bapa ketika berada di rumah atau dalam kereta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis, NV Subbarow berkata, 200 daripada 300 kanak-kanak yang ditemui  ketika program tanpa nikotin bagi kanak-kanak memberitahu mereka mengambil vape dua kali seminggu.

Perkara itu didedah kanak-kanak berkenaan ketika program kesedaran merokok, vape dan penggunaan e-rokok yang dijalankan CAP di beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.

“Sebenarnya sebelum ini mereka bukan perokok dan pelajar mengaku tingkah laku itu adalah cara mula mereka mencuba vape dan e-rokok berkenaan.

“Mereka juga mengakui, adik-beradik lelaki itu mencadangkan mereka mencuba vape, walaupun mereka kadang-kadang menolak atau berkata tidak kepada produk berkenaan.”

Katanya lagi, mereka tidak membeli sebarang peralatan vape atau e-rokok sebaliknya merasa jus cecair vape kepunyaan bapa atau abang yang secara tidak langsung menarik minat untuk mereka mencubanya.

Soal selidik CAP mendapati, daripada empat kanak-kanak, seorang daripadanya adalah perempuan dan ketagih manakala di sekolah menengah, nisbahnya ialah enam yang mana dua adalah pelajar perempuan, ” katanya .

Menurut Subbarow, ‘vaping’ atau menghisap vape adalah tindakan menyedut wap yang dihasilkan oleh e-rokok atau ‘vaporizer’ malah e-rokok juga adalah berbahaya dan menyebab ketagihan.

Pendedahan itu juga mendapati bapa dan abang kepada kanak-kanak berkenaan kerap menggunakan produk terbabit di rumah serta ketika memandu dan mereka bersetuju, masih berminat untuk mencubanya walaupun menyedari menghisap vape adalah racun.

Katanya, bapa atau abang dengan santai memberi gajet vape kepada mereka yang duduk di tempat duduk penumpang serta di rumah dan apabila menawarkan vape, mereka selalu mengatakannya adalah jus buah dan tidak perlu risau ‘kerana kandungan sebenar adalah nikotin’ .

“Mereka menghisap vape di rumah apabila ibu bapa tiada kerana bau buah itu, ramai kanak-kanak mengakui mereka percaya jus berkenaan diperbuat daripada buah-buahan atau gula-gula.”

Justeru, CAP menggesa pentadbiran sekolah membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP bertemu dengan pelajar bagi memberi kesedaran bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.”

CAP bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah akan ketagih vape dan kesihatan serta masa depan mereka akan terancam.

“Batang berwarna-warni yang berperisa manis menarik minat kanak-kanak malah kartrij vape mempunyai nama dan perisa yang menjadikannya bunyi seperti gula-gula, seperti coklat pudina, mangga dan titisan limau beku,” katanya.

Menurut laporan WHO, terdapat 16,000 jenis perisa vape di pasaran mengandungi bahan kimia yang menjejaskan kesihatan.

Loading...
Terkini