comscore
Tumpuan :
Nasional

20,000 penumpang di Sabah terjejas, keselamatan jadi keutamaan – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keselamatan penumpang menjadi keutamaan berikutan langkah syarikat penerbangan membatalkan puluhan jadual penerbangan ke Sabah hari ini.

Katanya, kira-kira 20,000 penumpang yang masuk dan keluar ke negeri ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Labuan, Tawau dan Sandakan terjejas akibat pembatalan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memantau rapat kesan letusan Gunung Ruang di Indonesia yang menyebabkan pelepasan debu gunung berapi di udara hingga menjejaskan operasi penerbangan.

“Saya sudah diberikan taklimat berhubung situasi itu dan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

“Keselamatan menjadi keutamaan dan apa yang penting ialah kita memberi keutamaan terhadap keselamatan rakyat kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak pagi tadi, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia membatalkan sebahagian besar penerbangan ke Sabah berikutan letusan Gunung Ruang di Kepulauan Sulawesi, Indonesia.

Letusan abu tebal dari gunung berapi itu dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitarnya termasuk di Sabah, memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan sementara penerbangan ke negeri ini.

Berpandukan maklumat dimuat naik kedua-dua syarikat penerbangan itu, sekurang-kurangnya 27 penerbangan di Sabah dan lapan penerbangan di Sarawak dibatalkan sejak pagi tadi dan dijadualkan semula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini