comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pacuan empat roda jatuh tebing, bayi 7 bulan maut

Tangkap layar dari video tular

DUNGUN: Bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas pacuan empat roda yang melanggar lopak air terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 372, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Maizura Abdul Kadir berkata Mohammad Adam Rayyan Abdul Rahim disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu, kira-kira jam 12.25 tengah hari ini.

Katanya mangsa menaiki pacuan empat roda yang dipandu Mohammad Taufik Babge,34, bersama isteri, Hamizah Mustapha, 35, serta dua lagi penumpang lain iaitu, Nik Muhammad Ariff Al-Iman Nik Mohd Azmi, 20, dan Faresh Rayyan Abdul Rahim,11.

Jelas Maizura, Mohammad Taufik seorang juruteknik yang beralamat di Pengkalan Balak, Masjid Tanah Melaka memandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero Sport dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Kuantan.

“Kesemua mereka yang menaiki kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari Kota Baharu untuk pulang ke Pengerang, Johor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai melanggar lopak air yang  menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya,” katanya.

Maizura berkata, berikutan itu, kenderaan terbabit kemudiannya terjatuh di tebing yang dipenuhi air.

“Kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu bagaimanapun diselamatkan oleh pengguna lebuh raya yang melalui kawasan itu.

“Mohammad Taufik cedera di kedua-dua belah kaki, Hamizah cedera ringan di bahagian kaki dan dada manakala Nik Muhammad Ariff Al-Iman dan Faresh Rayyan cedera di bahagian dada,” katanya.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

“Mohammad Adam Rayyan kemudiannya dihantar ke HSNZ dan disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan hari ini.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Terkini