comscore
Tumpuan :
Bencana

248 mangsa masih ditempatkan di dua PPS di Kuching

KUCHING: 248 orang daripada 63 keluarga yang terjejas akibat banjir, ditempatkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Kawa, selepas kediaman mereka dinaiki air sejak semalam.

Jumlah terbabit adalah pertambahan 108 lagi mangsa yang dipindahkan ke dua PPS bekenaan pada sebelah malam semalam selepas rumah mereka di kawasan Kampung Sinar Budi dan Taman Desa Wira dinaiki air.

PPS Dewan Sinar Budi Baru menempatkan 148 mangsa melibatkan 31 keluarga manakala Dewan Stapok Batu Kawa menempatkan 100 mangsa daripada 32 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, hujan berterusan sejak tengah malam Jumaat lalu mengakibatkan beberapa kawasan rendah di Kuching dilanda banjir kilat lebih dua jam pada pagi semalam.

Beberapa penempatan penduduk di kawasan rendah termasuk di Kampung Sinar Budi dan Taman Desa Wira terus dinaiki air antara 0.5 meter hingga melebihi satu meter sekaligus mengakibat beberapa penduduk di kawasan terbabit dipindahkan ke PPS.

Selain dua kawasan terbabit beberapa kawasan lain turut dilanda banjir kilat antaranya Kota Sentosa, Matang, Batu Tiga dan Stampin.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di bererapa kawasan di Sarawak melibatkan kawasan Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Loading...
Terkini