comscore
Tumpuan :
Nasional

3 faktor pembentukan kerajaan BN-PH di Pahang

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – FOTO: NSTP

PEKAN: Mengambil kira keupayaan gabungan membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat antara tiga faktor utama menjadi pertimbangan Barisan Nasional (BN) Pahang untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pada masa sama kombinasi kerajaan negeri haruslah mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negeri itu.

Beliau berkata BN Pahang juga berpendirian bahawa kerjasama antara blok adalah satu pendekatan baharu yang mesti menjadi pilihan.

Katanya, ia sekali gus membuktikan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada PH atau Perikatan Nasional (PN) demi kebaikan rakyat.

“Ketiga, BN Pahang percaya bahawa pembentukan kerajaan negeri yang baharu ini perlu turut selari dengan kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat Persekutuan.

“Ini bagi memastikan pentadbiran serta segala perancangan yang dibuat demi pembangunan negeri Pahang dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar.

“Berdasarkan pertimbangan dan senario yang telah diperhalusi dengan penuh berlapang dada ini, akhirnya BN dan PH mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan negeri bersama-sama,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri yang dibentuk itu adalah sebuah kerajaan yang mewakili dan akan berkhidmat untuk semua.

“Saya akan memastikan segala sentimen politik dan perbezaan ideologi diketepikan dan satu-satunya perkara yang menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah kestabilan dan kemakmuran Pahang.

“Kerajaan negeri yang baharu dibentuk ini akan sebaik mungkin memastikan Belanjawan 2023 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada penggal lalu dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

“Buat masa ini, fokus utama kerajaan negeri adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah yang lebih baik dan positif.

“Sesungguhnya, saya bersama seluruh pasukan kerajaan negeri akur dan sedar betapa pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar dan mesti dilunaskan dengan idea, kudrat dan ikhtiar terbaik.

“Saya juga berharap bahawa blok PN akan menjadi pembangkang yang sentiasa tegas, objektif dan mampu menjalankan fungsi semak dan imbang yang selayaknya,” katanya.

Mengulas pelantikan semula sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy menjunjung kasih atas limpah perkenan Pemangku Raja Pahang di atas pelantikan berkenaan.

“Insya-Allah, patik akan menggalas amanah, tanggungjawab serta kepercayaan besar ini dengan sepenuh jiwa raga dan hati nurani patik demi kepentingan rakyat dan negeri Pahang Darul Makmur.

“Seperti yang diketahui, pembentukan Kerajaan Pahang tertangguh seketika ekoran keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu yang menyaksikan tiada mana-mana parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu melebihi 22 kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang,” katanya.

Pada PRU-15, BN memperoleh 16 daripada 41 kerusi DUN, manakala PH lapan kerusi dan PN (17). Ditanya senarai barisan ahli EXCO Pahang, Wan Rosdy berkata, setakat ini, ia belum dimuktamadkan dari segi jumlah lantikan membabitkan BN dan PH.

“Barisan EXCO baharu yang membabitkan BN dan PH akan dibentuk dalam masa terdekat,” katanya.

Loading...
Terkini