comscore
Tumpuan :
Nasional

6 hospital, 72 fasiliti kesihatan di Kelantan, Terengganu terjejas banjir

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Enam hospital dan 72 fasiliti klinik serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di Kelantan dan Terengganu terjejas akibat banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan dua hospital di Kelantan iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh.

“Semua perkhidmatan di HRPZ II masih beroperasi seperti biasa walaupun bangunan hospital dimasuki air, manakala perkhidmatan Makmal dan perkhidmatan Pengimejan dan Diagnostik di HTA diberhentikan sementara waktu.

“Penutupan bekalan kuasa dalaman dilakukan bagi melindungi peralatan daripada kerosakan akibat litar pintas telah dilakukan oleh pihak hospital. Sebarang keperluan perkhidmatan tersebut akan dirujuk ke hospital berdekatan iaitu HRPZ II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 19 pesakit dari HTA dipindahkan ke HRPZ II dan HUSM kerana dikhuatiri paras air banjir akan meningkat pada bila-bila masa.

Pemindahan pesakit berkenaan diuruskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kelantan.

Menurutnya, sebanyak empat hospital telah terjejas dan berkemungkinan terjejas banjir dan dipantau secara rapi di Terengganu iaitu Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu, dan Hospital Hulu Terengganu.

“Peningkatan paras air akibat banjir telah menyebabkan limpahan air ke dalam ruang Jabatan Kecemasan dan Dewan Bersalin di Hospital Kemaman pada malam Ahad lalu telah surut keesokan pagi.

“Peningkatan paras air mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu, dan Hospital Hulu Terengganu telah menyebabkan laluan ke hospital dan kawasan sekitar terputus dan hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara.

“Bagaimanapun, hospital-hospital ini telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan dan pakai buang yang mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 32 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Kelantan iaitu 22 klinik desa (KD) dan 10 klinik kesihatan (KK).

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh fasiliti kesihatan masih beroperasi iaitu di KD Gobek, Tanah Merah; KK Temangan dan KK Bukit Bakar di Machang; KD Kuala Nal, KD Chenulang, KD Mahligai dan KD Pasir Kelang di Kuala Krai.

Tiga fasiliti kesihatan tidak beroperasi adalah di KK Banggol Pak Esah, Pasir Puteh; KD Sokor, Tanah Merah dan KK Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, manakala 22 lagi pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif.

“Bagi fasiliti kesihatan di daerah Pasir Mas iaitu KK Tendong dan KD Bunut Susu dipindah operasi ke KK Pangkal Kala manakala KK Meranti dipindah operasi ke KADA Meranti. KK Gual Periok, KD Rahmat dan KD Lubok Setol pula dipindah operasi ke KK Rantau Panjang. KD Chetok dipindah operasi ke KK Chekok, KD Jejawi dan KD Pohon Tanjong dipindah operasi ke KD Repek serta KD Gelang Mas dipindah operasi ke PPS Gelang Mas.

“Bagi fasiliti kesihatan di daerah Bachok yang dipindahkan operasi adalah di KK Mahligai ke KK Berop; KD Alor Bakat ke KD Kolam; KK Kuchelong dan KD Bekelam ke KK Gunong; KD Pantai Baru ke KD Repek; KD Belukar ke KD Kuau; serta KD Pauh Sembilan ke KK Beris Kubor.

“Bagi fasiliti kesihatan di daerah Tumpat yang dipindahkan operasi adalah di KD Simpangan dan KK Teluk Jering ke KK Bunohan; KD Pulau Tojang ke KK Teluk Renjuna; serta KD Bukit dan KD Padang Rokma ke KK Wakaf Baru,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 40 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Terengganu iaitu 27 KD, lima KK, empat klinik pergigian, tiga PKD dan satu Unit Vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi iaitu di daerah Besut (KD Keruak, KD La, KD Kerandang, KD Tok Dor, KP Kuala Besut, KK Kuala Besut, KD Felda Tenang, KD Bukit Payung, KD Alor Lintah dan KD Alor Keladi); dan daerah Hulu Terengganu (KK Felda Mengkawang, KD Felda Tersat dan PKD Hulu Terengganu).

Turut masih beroperasi di daerah Setiu (KD Penarik, KD Bintang dan KD Langkap) dan di daerah Marang (KD Undang, JKN Bukit Payong dan KK Bukit Payong).

“Enam pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif iaitu KD Kua ke KK Ajil; PKD Setiu ke KK Rahmat; KD Pelong ke KK Langkap; KD Jongok Batu dan KD Kuala Jengal ke KK Al Muktafi Billah Shah (AMBS); serta PKD Kuala Nerus ke KK Batu Rakit atau KK Seberang Takir.

“15 fasiliti kesihatan tidak beroperasi iaitu daerah Besut (KP Pasir Akar, KP Jabi, KK Pasir Akar, KD Pok Wong); daerah Hulu Terengganu (KD Padang Setar, KK Tengkawang, KP Tengkawang, KD Kuala Jeneris, KD Bukit Gemuruh, KD Menerong); serta daerah Setiu (KD Guntong, KD Banggol, KD Fikri, KD Gong Terap, KD Gong Terap,” katanya.

Loading...
Terkini