comscore
Tumpuan :
Nasional

8,000 liter diesel cuba diseleweng di Pokok Sena

ALOR SETAR: Sebanyak 8,000 liter minyak diesel, disyaki cuba diseleweng, disita susulan operasi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena, dekat sini, semalam.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata dalam serbuan itu, dua suspek warganegara Myanmar dalam lingkungan 30-an dan 40-an ditahan di lokasi berkenaan.

Katanya, kes tersebut diserahkan kepada Pejabat KPDN Kedah oleh Unit Risikan/Operasi, FRU PDRM Bukit Aman pada jam 11 malam tadi.

“Diesel yang disita itu dianggarkan bernilai RM17,200. Selain itu dua ‘skidtank’ dan beberapa peralatan pemindahan minyak yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyelewengan diesel turut dirampas.

“Nilai rampasan keseluruhan mencecah RM124,200,” katanya, dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Affendi berkata hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek mendapati premis tersebut tidak mempunyai sebarang kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

— BERNAMA

Loading...
Terkini