comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan persekutuan salur RM57.2 juta kepada negeri Perlis untuk tangani impak banjir

Foto hiasan

KANGAR: Sebanyak RM57.2 juta disalurkan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Perlis bagi menangani impak kejadian banjir kepada penduduk di negeri itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Datuk Seri Huang Tion Sii berkata peruntukan itu disalurkan di bawah Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi bagi menangani masalah banjir di kawasan risiko tinggi seluruh negara mulai 2023 hingga 2030 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM11.8 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis turut menerima peruntukan sebanyak RM127 juta bagi melaksanakan tiga projek yang bukan sahaja memfokuskan kepada projek tebatan banjir, malahan melibatkan pemulihan empangan dan pemuliharaan sungai demi kesejahteraan rakyat Perlis.

“Peruntukan tersebut adalah di bawah Rolling Plan Pertama sehingga Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS 2023) Peringkat Kebangsaan di Pasar Terapung JPS Perlis, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosli Isa dan Ketua Pengarah JPS Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Anuar Othman.

Huang berkata di samping itu, sebagai persediaan untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut dan mengurangkan impak kejadian banjir pada penghujung tahun ini, JPS turut memperuntukkan RM2.5 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja kecemasan di luar jangka.

Sementara itu, katanya, dalam menghadapi fasa peralihan monsun dan Monsun Timur Laut, semua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu telah di arah untuk membuat persediaan awal untuk menghadapi bencana banjir.

“Di seluruh Perlis sendiri, sebanyak 36 buah stesen telemetri aras air sungai dan 48 buah stesen hujan serta 12 stesen siren amaran banjir telah dipasang,

“Bagi model ramalan banjir bagi lembangan Sungai Perlis pula telah beroperasi dan berupaya memberi ramalan banjir tujuh hari lebih awal serta amaran banjir pula sehingga dua hari lebih awal,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini