comscore
Tumpuan :
Nasional

Abang sado curi iPhone tumpas

Modus operandi suspek berbadan sasa yang selalunya memakai pelitup muka, bercermin mata serta bertopi ialah berpura-pura mahu membeli iPhone 13 Pro Max dan iPhone 14 Pro Max terpakai.

KULAI: Perbuatan seorang lelaki berbadan sado yang menggunakan pelbagai taktik sebelum melarikan telefon pintar Apple iPhone di beberapa premis di bandar raya ini akhirnya menerima padah.

Dia dicekup polis di pasar raya di Taman Sutera Utama, Skudai, jam 2 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, telefon bimbit tiruan jenama Apple iPhone Pro Max turut dirampas daripada suspek, 24.

“Lelaki berkenaan juga dipercayai melarikan iPhone 14 Pro Max yang berharga RM7,350 pada 5.30 petang pada 9 Jun lalu di pusat beli-belah di Bandar Indahpura, Kulai.

Suspek ditahan di pusat beli-belah di Taman Sutera Utama, Skudai, semalam, ketika mahu bertemu pekerja kedai telefon bimbit untuk menukar telefon dicurinya dengan yang baharu. – Foto ihsan pembaca

“Pengadu mendakwa suspek ke kedai menjual telefon bimbit dan meyakinkan pengadu dengan membuat bayaran penuh sejumlah RM6,850 dan menunjukkan resit pembayaran dalam talian yang palsu.

“Pengadu bagaimanapun mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek ketika urusan jual beli itu berlaku.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis selepas semakan mendapati tiada transaksi bayaran yang diterima di akaun milik syarikat,” katanya.

Yusof berkata, semakan mendapati suspek memiliki lima rekod lampau jenayah berkaitan.

Dia kini direman empat hari sehingga 14 Jun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Loading...
Terkini