comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu disyaki bawah pengaruh dadah, langgar pagar istana

Foto: Ihsan Polis

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah ditahan selepas melanggar dua kereta sebelum merempuh istana besar di Kilometer 2.3 Jalan Skudai, Pantai Lido di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku pada jam 5.28 pagi membabitkan kereta jenis Audi warna emas dipandu seorang lelaki warga asing berusia 20-an.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berkenaan memandu dari pusat bandar menghala ke Skudai bersama-sama dua penumpang.

 

Sebaik tiba di tempat kejadian pemandu itu gagal mengawal kenderaan di kawasan selekoh sebelum terbabas masuk ke jalan bertentangan.

Foto: Ihsan Polis

“Kereta warga asing itu kemudian rempuh teksi jenis Proton Persona warta putih merah dan Perodua Aruz warna biru sebelum merempuh pagar istana di bahu jalan,” katanya menerusi suatu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu warga asing itu mengalami kecederaan ringan manakala pemandu teksi dan pemandu Perodua Aruz tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pagar istana mengalami kerosakan akibat kejadian itu sementara kereta warga asing itu terbalik.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis methaphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Raub berkata, pihaknya meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff 017-5919208.

Loading...
Terkini