comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada Penumpang Feri Tersadai Sesak Nafas

Penumpang feri yang tersadai di perairan jeti Kuala Kedah diberi bantuan pasukan paramedik. Foto: Ihsan APMM

ALOR SETAR: Beberapa penumpang feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang tersadai akibat air laut surut di perairan jeti Kuala Kedah hari ini dilaporkan mengalami sesak nafas.

Feri yang membawa 547 penumpang serta kru itu dilaporkan tersadai sekitar 3 petang tadi akibat air laut surut.

Berikutan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah memberi bantuan awal ‘medical evacuation’ (Medevac) berjaya dilakukan menggunakan bot pada 5.37 petang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, aset APMM membabitkan Bot Perkasa 1224 Maritim Malaysia serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan berikutan hanya bot kecil saja boleh merapat di feri berkenaan dalam usaha untuk membawa penumpang.

Beliau berkata, sehingga kini proses membawa keluar kesemua penumpang feri masih giat dilakukan.

“Maritime Resque Sub Centre (MRSC) Langkawi juga turut dimaklumkan dan koordinasi lanjut sedang dilaksanakan bagi memastikan kesemua penumpang selamat dipindahkan ke darat.

“Perkembangan semasa kejadian akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan bertulis daripada kapten Feri Bahagia 98 yang terkandas itu.

Katanya, berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku ketika air laut berada pada paras 1.7 meter iaitu paras yang masih selamat untuk pelayaran.

“Selain itu, banyak faktor yang boleh menyebabkan kejadian itu antaranya feri tidak mengikut laluan asal atau laluan tersebut dihalang oleh kerja pengerukan laut yang sedang dilaksanakan,” katanya. – HARIAN METRO

 

Loading...
Terkini