comscore
Tumpuan :
Nasional

Adik minta saya minta tolong orang kampung – Kakak Aszura

Aslinda, mangsa yang terselamat dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor menceritakan detik kejadian kepada pemberita semasa ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor -Foto: NSTP

TAPAH: “Aszura minta saya pergi minta bantuan, apabila saya balik ke lokasi perkelahan dia dan tiga anaknya dah tiada”.

Demikian kata mangsa kejadian kepala air, Aslinda Bani, 38, yang terselamat dalam insiden meragut nyawa empat beranak di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor.

Mereka yang ditemukan lemas ialah adiknya, Aszura Bani, 37, serta tiga anak Aszura, iaitu Hanum Marissa Azam, 2; Hafif Muhayat Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7.

Bercerita tentang detik mencemaskan itu, Aslinda berkata, mereka bertujuh termasuk anaknya berusia 11 tahun dan pembantu rumah, 30-an sedang duduk di atas batu di tengah Sungai Kenjur sambil bermandi-manda sebelum kepala air datang secara tiba-tiba.

“Ketika kepala air itu mula turun, kedalaman sungai hanya paras lutut, tapi deras. Kami cuba berpaut pada batu dan pokok terdekat. Saya diselamatkan oleh warga emas.

“Adik saya, Aszura pegang dua anaknya. Dia minta saya pergi minta tolong daripada orang kampung.

“Apabila saya datang semula bersama orang kampung, saya lihat cuma anak lelaki saya melambai-lambai di pinggir sungai manakala Aszura, tiga anaknya dan pembantu rumah sudah hilang,” katanya ketika ditemui semasa pengebumian tiga beradik berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini, hari ini.

Aslinda berkata, ketika dia dan penduduk kampung tiba di tempat kejadian, air sudah mencecah satu meter.

Menurutnya, mereka mengambil keputusan mandi-manda di sungai berkenaan untuk menyejukkan badan selepas penat bergotong-royong mencuci kedai buah milik Aszura di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sebelah selatan.

Sementara itu, suami kepada Aszura, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, kelihatan masih bersedih dengan pemergian empat insan kesayangannya dalam sekelip mata dan tidak dapat berkongsi lebih lanjut dengan pihak media.

“Saya tidak ikut mereka kerana ada urusan di Gopeng. Saya hanya dapat tahu berita daripada anak saudara.

“Apabila saya sampai, mayat isteri saya sudah dijumpai,” katanya.

Jenazah Aszura selamat dikebumikan jam 12.20 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, manakala tiga anaknya dikebumikan jam 6.20 petang dalam satu liang lahad di sisi pusara ibu mereka.

Loading...
Terkini