comscore
Tumpuan :
Nasional

Adik sayu teringat usikan Faridah mengenai kain putih

Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Pasukan Pengaman Malbatt 850 Siri 11, Sarjan Faridah Abd Rahman bersama ahli keluarga sebelum berlepas ke Lubnan pada November tahun lalu. Foto ihsan Noor Azmi.

PENDANG: “Kakak berada di Dubai ketika itu untuk ‘transit’ dan beritahu kami dia akan pulang. Saya cakap kenapa tak buat kejutan saja, tapi dia balas ‘tengok-tengok sampai kain putih saja macam mana, nak sangat buat kejutan’,” kata Hafyzoh Abd Rahman, adik bongsu kepada Sarjan Faridah yang meninggal dunia di Lubnan pada pagi Sabtu lalu.

Hafyzoh, 21, berkata dia berasa sayu apabila mengenangkan kembali kata-kata kakaknya itu dan langsung tidak menyangka ia menjadi kenyataan.

Katanya, kakak sulungnya itu ada menghantar mesej melalui WhatsApp ketika dalam perjalanan pulang bercuti ke tanah air pada 18 April lalu.

“Kami sekeluarga tak fikir apa-apa masa dia cakap macam itu tapi bila sudah jadi macam ini terus teringat balik kata-kata dia dalam WhatsApp, sedih sayu semua ada tapi kami reda dengan pemergian dia, segalanya sudah tertulis,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Mati, Tobiar di sini malam tadi.

Terdahulu, Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Pasukan Pengaman Malbatt 850 Siri 11 itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2.25 pagi Sabtu waktu Lubnan atau pukul 7.25 pagi waktu Malaysia.

Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam Malbatt 850 Siri 11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan apabila beliau rebah selepas turun dari bas di kem berkenaan.

Hafyzoh berkata kakaknya juga ada menyatakan sekiranya berlaku apa-apa kepadanya, dia sekurang-kurangnya sudah berjumpa keempat-empat anaknya sewaktu pulang bercuti ketika itu.

Katanya, kakaknya itu juga memuat naik dalam status WhatsApp dia berasa kurang sihat sepanjang perjalanan pulang ke Lubnan, Sabtu lalu.

“Kakak ada tulis dalam status dalam WhatsApp tulis perjalanan yang teruk dirasakan tak pernah lagi jadi macam ini, berjalan sikit pening kepala, dia kata.”

“Saya lihat status itu pada pukul 10.17 pagi semalam (Sabtu), bila saya hantar mesej dia sudah tidak balas dan saya telefon, kawan kakak yang jawab kata arwah terjatuh,” katanya.

Sementara itu, suami Allahyarham, Noor Azmi Ariffin, 39, yang juga pesara tentera berkata isterinya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ketika pulang bercuti malah aktif melayan karenah empat anak mereka.

“Tidak ada tanda-tanda sebab dia nampak gembira sangat sebab dapat luang masa dengan anak-anak. Kami pergi merata-rata untuk bercuti bersama, bila jadi begini saya sendiri terkejut.”

“Pihak tentera ada datang memaklumkan tentang kejadian itu kira-kira pukul 10.30 pagi semalam (Sabtu),” katanya.

Menurutnya, Faridah yang sudah 17 tahun berkhidmat dalam tentera merupakan seorang yang komited dengan kerjaya selain disenangi ramai.

“Arwah tak pernah ada penyakit. Dok berulang ke hospital pun bawa anak perempuan ketiga yang syndrome down ni saja. Anak saya ni ada masalah jantung juga, masih ada rawatan susulan di hospital.”

“Arwah ke Lubnan pada November tahun lepas dan kali ini baharu pulang bercuti. Dia nampak sangat gembira dan kami reda.”

“Anak-anak semua dapat menerima berita ini kecuali yang bongsu masih bertanyakan ummi dia.”

“Kami berharap urusan membawa pulang jenazah berjalan lancar agar arwah dapat dikebumikan di sini. Pihak tentera cakap urusan membawa pulang akan mengambil masa,” katanya.

Arwah meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13; Muhammad Afnan, 10; Nurul Jannah, 7; (syndrome down) dan Ainul Mardiah, 4 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini