comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Aduan Rakyat: Pencemaran bau jejas kesihatan penduduk

 

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SHAH ALAM: Kira-kira 2,000 penduduk berhampiran Desa Subang Permai, Shah Alam, Selangor terpaksa menghidu bau busuk setiap hari, didakwa berpunca dari kilang baja organik yang terletak berhampiran kawasan perumahan mereka.

Malah, ada di antara penduduk yang mendakwa kesihatan mereka terjejas akibat pencemaran bau berkenaan.

Hasil tinjauan kru Aduan Rakyat mendapati, tapak lokasi kilang tersebut hanya berjarak beberapa ratus meter dari kawasan penduduk yang mendiami kawasan itu.

Mereka mengadu bukan sahaja bau busuk yang merobek rongga pernafasan mereka, malah mereka juga mengalami sesak nafas dan sakit kepala jika menghidu bau busuk itu dalam keadaan yang agak lama.

Menurut penduduk, aduan sudah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan MBSA juga telah turun ke lokasi yang menempatkan kilang terbabit 11 Oktober lalu .

Hasilnya, kompaun dikeluarkan dan pengusaha kilang diarah henti operasi.

Namun, bau busuk masih menyelubungi kawasan perumahan mereka, lebih-lebih lagi pada waktu malam dan awal pagi.

“Saya terpaksa keluar awal-awal pagi. Masa awal-awal perkara ini terjadi, bau dia dari pagi sampai ke malam.”

“Tetapi sekarang ia jadi secara berskala. Saya perasan sekarang bau itu kuat pada waktu tengah malam, waktu maghrib dan pada 10 malam. Kemudiannya pada jam 4 pagi. Waktu itu bau itu memang kuat.” kata salah seorang penduduk, Sufiah Abdul Wajis.

Kata Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Subang Permai, Mohd Azman Andollah Maksom bau busuk itu sebenarnya sudah berlanjutan lebih empat bulan lamanya,

Masalah yang dihadapi penduduk kami panjangkan kepada MBSA.

Hasilnya, Rabu lalu MBSA sekali lagi turun padang ke kilang terbabit dalam operasi bersepadu.

Operasi kali ini turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim; Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, serta beberapa agensi berkaitan.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif pemilik kilang telah sekali lagi dikenakan kompaun dengan tiga kompaun dan lima notis amaran dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Malah, pemilik turut diarah membersihkan kawasan dan memindahkan operasi kilang dalam tempoh masa 14 hari bermula dari 1 November.

Buat sementara waktu, bahan kimia akan digunakan oleh pemilik bagi mengurangkan bau busuk itu.

“Sebenarnya pemilik kilang ini menjalankan aktiviti kejuruteraan tanpa kelulusan, jadi maknanya kerja-kerja itu dilakukan tanpa kebenaran.”

“Di samping itu, dia juga ada buat proses baja untuk kegunaan tanaman. Jadi masalahnya yang timbul adalah bahan yang digunakan untuk baja itu adalah sisa ikan atau sisa makanan laut yang diproses untuk dijadikan baja.

“Jadi itu yang sebabkan kacauganggu kepada jiran atau pemilik di kawasan bersebelahan menimbulkan bau yang busuk.”

“Kami telah keluarkan lima notis dan tiga kompaun, dan disebabkan ia merupakan tanah persendirian, kami telah beri masa 14 hari untuk pemilik menghentikan dan memindahkan operasi kilang tersebut.”

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini