comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Aduan Rakyat: Projek naik taraf jalan depan sekolah undang bahaya

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Bahaya dan boleh mengancam nyawa, itu yang dapat digambarkan mengenai projek naik taraf jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Dua, di Petaling Jaya, Selangor yang sepatutnya siap tahun lalu.

Namun, sudah tiga kali projek ini tertangguh dan masih belum dapat disempurnakan.

Yang dibimbangi keselamatan murid dan warga sekolah yang melalui tapak projek jalan berkenaan.

Tinjauan Buletin TV3 di sekitar kawasan sekolah mendapati, ada cerucuk besi yang terkeluar dari tanah serta papan berpaku yang boleh mendatangkan bahaya kepada murid.

Lebih membimbangkan, barangan pembinaan turut dibiarkan di atas bahu jalan.

Dakwa Naib Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Dua, Rizal Rozali, projek naik taraf jalan ini bermula sejak lebih tiga tahun lalu.

“Akibat tidak dapat disempurnakan mengikut jadual, sudah tiga kali projek ini diberikan tempoh lanjutan pada Mei 2022, November 2022 dan pada Januari tahun ini.

“Namun, projek ini masih tidak dapat disempurnakan sebelum sesi persekolahan bermula Mac lalu.

“Bulan Februari lalu, pihak berkaitan memang ada datang ke sini dan melawat tapak. Dan mereka pun dah jumpa dengan kontraktor di sini.

“Cuma yang saya nak pastikan, apa kesudahan perbincangan tersebut. Nampak gayanya, macam belum ada apa apa perubahan dan tindakan.

“Jadi saya minta, pihak berkuasa atau pihak berkenaan tolong pantau, tolong buat sesuatu untuk pastikan perjalanan projek ini berjalan lancar sebab dah terlalu lama kami menghadapi masalah ini” katanya.

Bagi salah seorang bapa kepada murid di sekolah tersebut iaitu Fazli Adnan, beliau amat risau dengan keadaan jalan dan keselamatan murid-murid sekolah tersebut.

“Memang saya risau. Bukan risaukan anak saya sahaja, tetapi anak-anak yang lain juga. Sebab tengok sendiri keadaan jalan yang teruk ini. Dengan pecahnya, dan jalan yang dipotong belum diletakkan tar semula.

“Lampu isyarat juga tidak berfungsi. Apatah lagi orang yang ditugaskan menjaga jalan ini, sekejap ada, sekejap tiada,” katanya.

Bagi Redzwan Yahaya pula, projek naik taraf ini turut menyebabkan jalan mengecil sekaligus berlaku kesesakan lalu lintas.

Ia turut menyebabkan beliau dan isteri mengalami kesukaran mengambil dan menunggu anak pulang dari sekolah.

“Sangat susah, saya dan isteri kena keluar dari rumah lebih awal untuk ambil mereka.

“Saya pula ada tiga orang anak yang waktu pulangnya berbeza. Jadi kami terpaksa sampai awal untuk elak kesesakan depan ini,” katanya.

Masalah itu kami ajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Katanya, projek itu sepatutnya siap tahun lalu, namun pihak kontraktor mengalami beberapa masalah menyebabkan ia lewat untuk disiapkan.

“Antara isunya pastilah termasuk musim pandemik dan isu kelewatan kontraktor sendiri, mungkin kekurangan dari jumlah pekerja dan sebagainya. Namun faktor utama sebenarnya berkaitan dengan agensi utiliti.

“Agensi utiliti ini termasuklah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Indah Water Konsortium (IWK) dan Air Selangor. Dimana, ada kabel-kabel yang memerlukan kelulusan dari pihak agensi mereka sendiri untuk dibuka dan diletakkan di kawasan lain. Malah ia turut melibatkan bajet agensi itu sendiri.

“Jadi apabila berurusan dengan empat agensi berbeza, pastinya akan ada sedikit kelewatan,” katanya.

Namun jelasnya, isu berkaitan utiliti itu telah diselesaikan dan menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kerja-kerja naik taraf jalan dijangka siap pada bulan Jun ini.

Loading...
Terkini