comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Agrico Qatar minat dapatkan bekalan minyak sawit Malaysia – PM

PETALING JAYA: Agrico Agriculture Development WLL (Agrico Qatar), sebuah syarikat pertanian organik berpangkalan di Qatar berminat untuk mendapatkan bekalan minyak sawit mentah untuk kilang penapisan minyak sawitnya di Malaysia, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasrat itu antara yang dibangkitkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Pengerusi syarikat itu,  Ahmed Hussain Al-Khalaf di pejabatnya semalam.

– FOTO : Anwar Ibrahim / Facebook

Turut hadir pada mesyuarat itu, Duta Qatar ke Malaysia, Salah Mohammed Al-Sorour serta wakil-wakil Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Semasa sesi kunjungan hormat tersebut, Agrico telah memaklumkan berkenaan cadangan untuk mendapatkan bekalan minyak sawit mentah bagi kilang penapisan minyak kelapa sawit milik Agrico di Malaysia.

“InsyaAllah MITI dan Kerajaan Negeri Selangor sedang menyelaraskannya. Produk ini seterusnya akan menjadi produk-produk berkualiti tinggi yang berpotensi dieksport ke Qatar, Tanzania, Afghanistan, India dan negara-negara di rantau Timur Tengah,” katanya menerusi Facebook.

– FOTO : Anwar Ibrahim / Facebook

Menurutnya, Agrico Qatar satu-satunya syarikat pertanian organik berasaskan system hidroponik di Qatar yang mengguna pakai teknologi terkini secara mampan.

“Melalui kaedah ini, Agrico berjaya menghasilkan kira-kira 3,000 tan metrik sayur-sayuran dan buah-buahan yang berkualiti sepanjang tahun, memenuhi sekurang-kurangnya 90 peratus permintaan pasaran tempatan Qatar.

“Pada tahun ini, Agrico Qatar melalui Agrico (M) Sdn Bhd menyasarkan untuk melaksanakan projek-projek dalam tiga sektor iaitu Penapisan Minyak Sawit, Pertanian dan Keselamatan Makanan, dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM1.5 hingga RM2 bilion,” katanya.

– FOTO : Anwar Ibrahim / Facebook

Menurut beliau, selari dengan Wawasan 2030 Qatar dan Pelan Tindakan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025, Malaysia menyambut baik usaha-usaha pihak swasta dalam menyokong agenda kerajaan ke arah menjamin keselamatan makanan serta memantapkan lagi rantaian bekalan makanan bagi kedua-dua negara.

Kerajaan katanya akan terus memperkukuhkan jaringan ‘perniagaan ke perniagaan’ antara Malaysia dan Qatar, serta mengalu-alukan syarikat-syarikat dari negara itu untuk meneroka pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia.

Loading...
Terkini