comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

[VIDEO] AJL 38 anugerah paling ikonik, angkat tema Muzikaverse

 

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Ahad ini bukan sahaja menjanjikan persembahan terbaik malah disasar paling ikonik dalam sejarah.

Melewati hampir empat dekad penganjurannya, edisi kali ini membabitkan kos yang agak besar dengan mengangkat tema Muzikaverse.

Menurut Pengurus Projek AJL 38, Russell Mark Rodrigues, selain menghimpunkan finalis yang hebat dan popular pihaknya menjanjikan kelainan pada AJL kali ini.

“Tema Muzikaverse adalah gabungan dua perkataan iaitu muzikal dan universe di mana kami gabungkan dunia muzik daripada komposer, penulis lirik sampailah ke artis.

“Semestinya apa yang kita boleh beritahu adalah kami menjanjikan kelainan di mana edisi AJL kali ini adalah paling ikonik di mana ada elemen kejutan yang menanti untuk penonton setia TV3,” katanya ketika ditemui pada sesi belakang tabir persiapan AJL 38 siang tadi.

Mengulas mengenai kos yang agak tinggi, beliau menjelaskan ianya sejajar dengan konsep ikonik yang ditampilkan selain mengambil situasi semasa seperti kenaikan harga barang.

“Tahun ini memang ekstravaganza, kita main dengan warna yang jarang sekali ditonjolkan. Warna-warna yang digunakan sangat meriah dan menterjemahkan keriangan.

Berbanding AJL terdahulu yang lazimnya kita hanya main satu warna sahaja.

Sementara itu Penerbit Eksekutif AJL 38, Shazreena Mohd Kassim berkata persiapan anugerah mega itu sudah menghampiri 100 peratus.

“Boleh dikatakan persiapan sudah pun siap dengan penglibatan tenaga kerja seramai 700 orang kerja secara keseluruhannya.

“Memang lain daripada lain kalau nak tahu apa kelainannya kenalah tonton, sebab stage sahaja lebih besar daripada tahun-tahun sebelum ini,”katanya.

AJL 38 menyaksikan komposer dan penyanyi muda mendominasi senarai finalis.

Mereka adalah Aina melalui lagu ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu manakala Ernie mempertaruhkan lagu Astana hasil ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman.

Bekas juara AJL 32 dan AJL 33, Hael Husaini juga mara ke pentas akhir melalui lagu ciptaannya berjudul Bintang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini