comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 berkuat kuasa esok

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [Akta A1695] akan dikuatkuasakan esok, seiring Dasar Peluang Kedua dan bertujuan memperkasa pentadbiran kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap dalam tempoh setahun selepas akta itu berkuat kuasa.

Menurutnya, jumlah terbabit adalah separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir Jabatan Insolvensi (MdI).

“Melalui pelaksanaan Akta A1695 juga, tadbir urus kebankrapan ditambah baik dengan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan notis dan dokumen pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik.

“Selanjutnya, sebagai inisiatif untuk mempercepat pentadbiran kebankrapan, kewajipan Ketua Pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Insolvensi 1967 [Akta 360], hasil pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut, Azalina memaklumkan, pindaan utama akta berkenaan adalah berkaitan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap.

Ujarnya, Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari tarikh bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwal.

Subseksyen 33B(2A) Akta 360 mengenai kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang turut dipinda.

Ia bagi menambah dua kategori baharu iaitu bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya disebabkan sakit mental mengikut takrifan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] dan bankrap yang berusia 70 tahun dan ke atas, yang pada pendapat dan budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi tidak berupaya untuk menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan.

“Selaras dengan objektif Dasar Peluang Kedua, pindaan kepada seksyen 33C dan subseksyen 33B(2A) Akta 360 dikuatkuasakan secara retrospektif kepada kes kebankrapan yang ditadbir sebelum permulaan kuat kuasa Akta A1695,” katanya.

Tambahnya, bagi memelihara kebajikan bankrap, Akta A1695 turut membuat semakan had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang dan had nilai bagi maksud kelayakan kes untuk ditadbir secara pentadbiran ringkas.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, penelitian ke atas jumlah 34,480 kes kebankrapan ditadbir bagi tempoh 2019 sehingga Mei 2023 mendapati, 49.12 peratus atau 16,937 kes berpunca daripada kegagalan membayar pinjaman peribadi, diikuti pinjaman perniagaan (17.15 peratus atau 5,912 kes) dan pinjaman sewa beli kenderaan (11.05 peratus atau 3,810 kes).

Pecahan mengikut jantina dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini  mendapati golongan lelaki lebih ramai diisytihar bankrap berbanding wanita.

Individu berusia antara 35 hingga 44 tahun pula paling ramai bankrap, iaitu 38.44 peratus atau 13,255 orang, diikuti kelompok usia 45 hingga 54 tahun (26.82 peratus atau 9,247 orang) dan 25 hingga 34 tahun (18.52 peratus atau 6,384 orang).

Loading...
Terkini