comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada pindaan Perlembagaan bagi mewajibkan rakyat keluar mengundi

Kerajaan tidak berhasrat meminda Perlembagaan bagi mewajibkan rakyat keluar mengundi. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk meminda Perlembagaan bagi mewajibkan rakyat keluar mengundi.

Sebaliknya, pendekatan secara pendidikan dan kesedaran sivik akan ditekankan bagi memupuk rakyat untuk menunaikan tanggungjawab apabila dikehendaki berbuat demikian demi kepentingan dan kestabilan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendirian itu selari sistem demokrasi diamalkan di negara ini.

“Kerajaan sentiasa mendokong prinsip keluhuran Perlembagaan dan ia termasuk hak individu berkelayakan untuk mengundi dalam sesuatu pilihan raya.

“Sebagai negara mengamalkan sistem demokrasi, hak kebebasan diuntukkan kepada setiap warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya.

“Berlandaskan kepada prinsip berkenaan, kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk mewajibkan setiap warganegara untuk mengundi,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai hasrat kerajaan meminda Perlembagaan bagi mewajibkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas keluar mengundi.

Sementara itu, Azalina berkata, peluang diberikan kepada semua rakyat yang memenuhi syarat kelayakan sebagai pemilih untuk mengambil bahagian dalam sesuatu pilihan raya, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.

“Menerusi penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019, peruntukan berkaitan pendaftaran pemilih secara automatik serta penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun melalui warta P.U.(B) 615, bermula 15 Disember 2021,” katanya.

Loading...
Terkini