comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya: Kajian empirikal dalam tempoh setahun – Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjalankan kajian empirikal yang komprehensif dalam tempoh setahun sebelum memuktamadkan cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman berkata kira-kira 19 undang-undang sedia ada serta Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi melaksanakan pengasingan kuasa itu.

“Bagaimanapun, perkara ini juga membabitkan kos yang memerlukan perbelanjaan tambahan kerajaan,” katanya ketika menyampaikan syarahan dalam Syarahan Parlimen Siri 3.0: Membina Semula Negara Melalui Pembaharuan di Bangunan Parlimen di sini malam ini.

Azalina berkata beberapa undang-undang telah dipinda apabila perlu bagi menangani dan memperbaiki tadbir urus di Malaysia dalam tempoh sembilan bulan lepas.

Beliau juga berkata kerajaan kini dalam proses untuk menggubal Rang Undang-Undang Kekebalan Negara yang akan menggambarkan prinsip undang-undang antarabangsa seperti kekebalan dan kedaulatan negara, status kedaulatan yang mutlak, kepastian dalam proses perkhidmatan bagi dokumen mahkamah di negara asing dan pengecualian kepada pemberian kekebalan itu.

Beliau berkata dengan adanya undang-undang sedemikian, negara berdaulat yang lain diharap dapat menjamin kekebalan kepada Malaysia berdasarkan prinsip timbal balik.
“Kedaulatan Malaysia perlu dilindungi dan tidak boleh dipandang remeh seperti yang berlaku dalam kes penipuan oleh kumpulan Sulu,” katanya.

Azalina juga berkata Kerajaan Perpaduan sedang memperinci Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi meningkatkan kepercayaan orang ramai serta keyakinan pelabur asing.

Beliau berkata pendekatan seluruh Malaysia, menyatupadukan rakyat, kerajaan dan masyarakat sivil diperlukan dalam usaha mencapai visi untuk membina Malaysia yang lebih baik dengan ekonomi teguh termasuk kemampanan fiskal, pertumbuhan inklusif, pekerjaan berkualiti dan pembaharuan institusi.

“Kerajaan Perpaduan mempunyai tanggungjawab moral dan perundangan kepada rakyat untuk memastikan pembaharuan ini ditangani dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Turut hadir Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan bekas Speaker Dewan Rakyat merangkap bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.- BERNAMA

Loading...
Terkini