comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak Abdul Taib imbau zaman dia membesar dengan disiplin ketat

Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib hadir bersama tokoh kenamaan pada majlis pengebumian ayahnya Tun Abdul Taib Mahmud di Tanah Perkuburan Demak Jaya, di Kuching hari ini.

KUCHING: Apa yang paling diingati Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mengenai bapanya, Tun Abdul Taib Mahmud ialah beliau sentiasa mempunyai masa untuk keluarganya.

“Beliau akan memberikan 100 peratus untuk kerja dan 100 peratus untuk keluarga. Dan walau macam mana sibuk sekali pun, beliau tetap akan memberikan masa untuk keluarga,” katanya.

Anak kedua Allahyarham Abdul Taib itu berkata bapanya seorang yang amat tegas dan berdisiplin.

“Ayah bekerja keras dan itu sesuatu yang sentiasa kami ingati. Bila pulang dari kerja, beliau amat penat dan boleh dilihat pada raut mukanya. Bagaimanapun beliau masih mempunyai masa untuk kami,” katanya.

Jelasnya lagi, antara perkara yang kerap dilakukan ayah mereka ialah membawa beliau dan keluarga menonton wayang walaupun pada zaman itu, menonton wayang bermakna mereka perlu ke panggung wayang.

Tambahnya, filem kegemaran Abdul Taib ialah filem Cina membabitkan aksi menggunakan pedang.

“Kerana bapa saya, saya sudah menyaksikan ratusan filem pertempuran menggunakan pedang daripada filem Cina. Malah ada beberapa kali, ayah tertidur di dalam panggung wayang.”

“Cintanya kepada kami amat tinggi hingga beliau sanggup mengetepikan kepenatannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Abdul Taib di Tanah Perkuburan Demak Jaya, di sini, hari ini.

Tambah Abu Bekir, ayahnya juga kerap menjaganya ketika beliau di tempat kerja.

Malah ketika bapanya menjadi Menteri Penerangan, beliau akan terus ke pejabatnya di Angkasapuri dari sekolah.

“Saya masih ingat pergi ke beberapa studio melihat orang bekerja, melakukan penggambaran atau sesuatu sementara menunggu bapa saya tamat kerja pada jam 5 petang. Pada masa sama ini membantu ibu saya kerana apabila kami sampai di rumah, ibu sudah tidak lagi penat untuk menjaga saya,” katanya.

Tambahnya, ketika Abdul Taib berpindah ke Kementerian Perusahaan Utama, Abu Bekir berkata pendidikannya di luar bilik darjah masih berterusan.

Ketika itu beliau banyak menghabiskan masa di Universiti Pertanian Serdang (sekarang Universiti Putra Malaysia) mempelajari teknik menangkap ikan serta menanam sayur-sayuran dan buah-buahan.

Tambah Abu Bekir, bapanya akan membawa beliau atau salah seorang adik beradiknya melakukan perjalanan terutama semasa Abdul Taib menjadi Menteri Pertahanan.

Jelasnya, ayahnya akan menggunakan wang sendiri jika beliau membawa anak-anaknya atau salah seorang daripada mereka mengikutinya dalam lawatan dan tugasan rasmi.

“Ada ketikanya, jika ibu (Allahyarham Puan Sri Laila Taib) turut serta, dua orang atau semua kami empat beradik akan ikut serta dan inilah cara ayah untuk memastikan dia sentiasa bersama anak-anak, walaupun dia amat sibuk dengan tugasnya sebagai menteri dalam kerajaan persekutuan ketika itu,” katanya.

Menurutnya lagi, ketika bapanya dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1981, beliau dan adiknya (Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib) sudah tinggal di asrama kerana menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Sungai Besi.

“Ketika itu ayah selalu membawa adik bongsu (Datuk Hanifah Hajar Taib) ke majlis-majlis yang dihadirinya,” katanya.

Abu Bekir berkata, kini beliau memahami mengapa bapanya sering membawa anak-anaknya ke tempat kerja.

“Dia mendidik kami untuk bekerja keras dan saya ingat lagi dia selalu berpesan kepada kami supaya bekerja dengan kuat untuk mencapai sesuatu,” katanya.

Abu Bekir yang ditemui media bersama adiknya, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang banyak membantu ketika bapanya menerima rawatan selain membantu proses membawa jenazah balik ke Kuching dari Kuala Lumpur.

“Pada masa yang sama, saya mewakili adik beradik serta keluarga juga ingin memohon maaf jika ada tersalah cakap atau ada yang tersinggung dengan perbuatan kami dalam tempoh sukar dua tiga hari ini…kami memohon maaf,” katanya.

Selain Abu Bekir dan Sulaiman, dua lagi anak Allahyarham Abdul Taib bersama Allahyarhamah Laila ialah Jamilah Hamidah dan Hanifah Hajar.

Loading...
Terkini