comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota APMM terbabit kejadian tembakan jalani pembedahan mata esok

FOTO: APMM

KOTA KINABALU: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang cedera di mata dalam kejadian tembakan di Lahad Datu pada 7 April lepas akan menjalani pembedahan lanjut di Hospital Queen Elizabeth, di sini esok.

Pemangku Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Sabah dan Labuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz berkata, pembedahan itu bagi memastikan kornea Bintara Muda Maritim Zainal Abas Komel, yang juga Ketua Bot Banggi 48, Zon Maritim Lahad Datu, masih boleh berfungsi atau sebaliknya.

“Pemeriksaan awal perlu dilakukan terlebih dahulu oleh pakar mata bagi memastikan anggota berkenaan (Zainal Abas) mendapat rehat secukupnya sebelum menjalani pembedahan berkenaan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook agensi itu hari ini.

FOTO: APMM

Menurut kenyataan itu, terdahulu Siti Khairunnisak mengadakan lawatan kebajikan terhadap Zainal Abas hari ini dengan disertai Timbalan Pengarah Pengurusan APMM negeri Siti Norhaini Osli.

Siti Norhaini pula memaklumkan pihak APMM akan menjaga kebajikan anggota berkenaan dan ahli keluarganya sepanjang mereka berada di Kota Kinabalu.

Dalam kejadian pada 8.30 pagi itu, dua anggota  APMM cedera ditembak dan seorang daripadanya cedera pada mata kiri ketika menjalankan operasi rondaan Op Khas Pagar Laut di perairan Kunak.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini