comscore
Tumpuan :
Nasional

Mata anggota Maritim Malaysia terkena tembakan dapat diselamatkan – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di PULAPOL Kuala Lumpur. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Mata anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang cedera ditembak di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi Kunak, semalam, berjaya diselamatkan dan tidak perlu memakai mata palsu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang berkata, pembedahan dijalankan untuk mengeluarkan peluru dan memastikan mata anggota polis terbabit berfungsi dengan baik.

“Seorang anggota Maritim Malaysia yang terbabit dalam kejadian tembakan itu selamat menjalankan pembedahan mata dan peluru berjaya dikeluarkan.

“Alhamdulillah mata anggota itu tidak perlu dikeluarkan kerana pada awalnya pembedahan juga untuk memasukkan mata palsu, namun keadaannya stabil,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azaman Ahmad Sapri kepada Timbalannya, Datuk Nasri Omar yang akan memangku jawatan itu, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.

Pada majlis itu , Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSPT, Datin Nassariah Mohad Nassir menyerahkan jawatannya kepada Naib Pengerusi, Datin Hamidah Hashim.

Pagi semalam, dua anggota penguat kuasa Maritim Malaysia Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri, manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

Sementara itu, empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini