comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Anggota trafik cedera dalam kemalangan ketika rondaan Op Selamat 19

FOTO: Ihsan IPD Shah Alam

SHAH ALAM: Anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam cedera di muka dan tangan selepas terbabit kemalangan di Kilometer 8.9 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari itu, mangsa, Abdul Jalil Md Said, 34 cedera selepas motosikal PDRM jenis Honda CBX750 berlanggar dengan kereta Proton X70.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa yang berpangkat Sarjan itu sedang dalam tugasan rondaan Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas pemandu kereta iaitu lelaki berusia 42 tahun masuk ke susur kiri secara mengejut untuk masuk ke sebuah stesen minyak.

“Akibat kejadian ini, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta berkenaan di bahagian tepi sebelah kiri lalu terjatuh di atas jalan.

“Mangsa yang bertugas di BSPT IPD Shah Alam itu mengalami kecederaan luka di bahagian muka serta tangan dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam iaitu Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini