comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar tiba di Hanoi untuk lawatan rasmi 2 hari

Oleh Ing Boon Seng

HANOI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Hanoi, Vietnam bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan isteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi-Bai, Hanoi jam 1 petang waktu tempatan.

Ketibaan Perdana Menteri dan delegasi disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.

Turut menyambut ketibaan, Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, Nguyen Van Hung, Duta Vietnam ke Malaysia, Dinh Ngoc Linh, Timbalan Menteri Luar Negeri Vietnam, Do Hung Viet
dan beberapa pegawai tertinggi Vietnam.

Lawatan ini adalah atas undangan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh
yang disampaikan ketika kedua-dua pemimpin menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia, Mei lepas.

Lawatan Datuk Seri Anwar ini cukup signifikan dan bermakna kerana tahun ini genap ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Vietnam yang terjalin sejak 30 Mac 1973.

Sejurus tiba Perdana Menteri akan menghadiri mesyuarat tertutup sebelum beliau bersama delegasi Malaysia diberi sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Presiden Hanoi.

Selepas itu beliau dijadual mengadakan mesyuarat bilateral bagi membincangkan hala tuju antara kedua-dua negara di samping menstruktur semula kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Selain pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Datuk Seri Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Vo Van Thuong, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam, Vong Dinh Hue.

Bagi meneroka lebih luas potensi kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua pihak, satu MoU juga akan dimeterai esok antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Vietnam Federation of Commerce and Industry (VCCI),

Kunjungan Perdana Menteri kali ini, bukan sahaja memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, malah turut memfokuskan beberapa bentuk kerjasama yang sedang dan bakal dilaksana.

Loading...
Terkini