comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar yakin Parlimen lulus bergaya keputusan kenaikan gaji penjawat awam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program “Soal Jawab Perdana Menteri” malam tadi. – Foto PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Keputusan dasar kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam akan diluluskan di Parlimen dengan bergaya pada pembentangan Belanjawan 2025 Oktober ini.

Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kira sokongan yang diterima daripada Ahli Parlimen termasuk ketua-ketua parti politik.

“Saya ucap terima kasih kepada keluarga penjawat awam umumnya kerana sambut begitu baik pengumuman ini. Tetapi kita tak boleh menghalang beberapa kenyataan yang hambar.

“Satu, ini pengumuman Anwar untuk laksana (kenaikan gaji) 1 Disember, mana tahu Parlimen tak lulus. Saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah. Kalau bantah, kita humban pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI, di sini hari ini.

Jelasnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO memberi sokongan kepada keputusan berkenaan.

Turut menyokong ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ini sudah cukup majoriti, saudara-saudara jangan bimbang insya-Allah Parlimen akan lulus bergaya keputusan kita ini supaya kita dapat laksana pada 1 Disember ini,” katanya.

Semalam, Anwar dalam sambutan Hari Pekerja mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang juga kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember ini.

Perdana Menteri dilaporkan memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan MADANI akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap perlu melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengulangi bahawa keputusan kerajaan untuk meningkatkan gaji penjawat awam selepas 12 tahun disebabkan beban tugas kumpulan tersebut yang makin bertambah.

Serentak itu, beliau mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengambil tindakan jika wujud salah laku dalam kalangan pemimpin serta penjawat awam.

“Biar dengar betul-betul (pengumuman), (individu) hebat itu menentang kenaikan, gaji dia jauh lebih tinggi, (ini) pandangan haprak dan tidak boleh diterima.

“(Kritikan kononnya) ini bukan kenaikan paling tinggi, memang ada langkah dulu diambil tapi ikut perkiraan memang tahun ini keputusan kerajaan (paling tinggi) tapi tapi belum umum perincian sebab ikut proses dan dasar dipersetujui.

“Dikaitkan (kenaikan) 15 peratus rendah, nak kritik boleh tapi sabar dulu. Jangan sombong dan angkuh. Jangan dengki kerana bila ada pengumuman baik, orang sambut baik, dia mesti cuba berhujah untuk mencemurkan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan pengumuman kenaikan gaji itu tiada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Jelasnya, keputusan tersebut telah dibuat pada awal tahun sebelum ADUN tersebut, Lee Kee Hiong meninggal dunia.

“Kita umum (keputusan) dasar (kenaikan gaji) pada 1 Mei, MAPPA (Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam) akan umum terperinci dan lengkapnya masa Belanjawan 2025.

“(Sebelum ini) saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) santuni penjawat awam setiap negeri, bincang kalau perlu penyesuaian (gaji). Kenaikan secara umum 15 peratus tapi secara khusus bagi peringkat rendah kenaikan antara 20 hingga 40 peratus.

“Sistem lebih saksama, peringkat rendah naik melonjak tinggi, RM2,000 (gaji minimum) boleh hidup selesa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini