comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM Terengganu lupus rokok seludup bernilai RM1.2 juta

Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid (kiri) melakukan proses melupuskan rokok seludup dengan menggunakan mesin pengisar di Ibu Pejabat Maritim Terengganu. – FOTO : NSTP

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melupuskan 379,400 batang rokok seludup bernilai RM1.2 juta hasil rampasan yang dilakukan sebelum ini.

Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, rokok tidak bercukai itu di rampas pada April lalu di kawasan Kuala Besut, Besut.

Menurutnya, rampasan itu merupakan kes kedua untuk tahun ini yang mana pada Februari lalu sebanyak 2 juta batang rokok tidak bercukai di rampas di kawasan Penarik, Setiu.

Katanya, dalam rampasan pada bulan Februari, rokok yang dirampas bernilai RM2.1 juta dan kedua-dua rampasan dilakukan melalui Operasi Serop.

“Rokok-rokok yang sudah dilucutkan hak itu dilupuskan APMM sebelum dibawa ke tapak pusat pelupusan sampah untuk dilupuskan secara selamat.

“Kita akan terus membuat pemantauan membabitkan kemasukan rokok-rokok haram melalui rondaan dan operasi secara berterusan,” katanya ketika ditemui selepas melupuskan rokok seludup di Pejabat APMM, Pualu Kambing, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap rokok seludup atau rokok tidak bercukai di kawasan pantai timur antara faktor yang dipercayai membawa kepada berlakunya aktiviti penyeludupan.

Katanya, APMM Terengganu juga sudah mendapat perintah pelucutkan hak dan akan melakukan pelupusan terhadap kes rampasan 200 peti rokok tidak bercukai bernilai RM2.1 juta di Penarik, Setiu.

“Pelupusan untuk kes itu akan dilakukan dalam masa terdekat. APMM Terengganu juga akan terus memperhebatkan pemantauan di kawasan-kawasan yang sering dijadikan laluan penyeludupan rokok tidak bercukai di negeri ini”, katanya.

Loading...
Terkini