comscore
Tumpuan :
Nasional

Attar layak terima faedah PERKESO sehingga umur 21 tahun

KUALA LUMPUR: Attar Azim Syukran Jamil, 9, kanak-kanak yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam nahas di Kuala Krai, Kelantan 2 Mac lalu, layak untuk menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed, hasil semakan mendapati ibu bapa Attar Azim mencarum dengan agensi itu.

“Beliau layak menerima FPM bernilai RM4,000 secara sekali bayar di atas pemergian kedua ibu bapanya, selain Faedah Pencen Penakat, RM1,585 setiap bulan sehingga berumur 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

“Skuat PERKESO Prihatin Tapah juga memaklumkan Attar Azim akan didaftarkan sebagai ahli Program Prihatin Keluarga Angkat (PROTEK) PERKESO sekali gus menjadi anak angkat PERKESO,” katanya ketika lawatan prihatin ke kediaman datuk Attar Azim di Felda Trolak, hari ini.

Attar (kanan) terselamat dalam nahas yang meragut nyawa kesemua ahli keluarganya (Foto ihsan keluarga)

2 Mac lalu, media melaporkan nahas membabitkan dua kenderaan yang meragut nyawa empat beranak di Kilometer (KM) 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi di Kuala Krai, Kelantan.

Dalam nahas jam 1.40 tengah hari itu, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, bersama isteri Noor Aishah Razali, 35, dan anak mereka, Lufya Adeena, 1, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.

Attar Azim adalah satu-satunya penumpang yang terselamat dalam kenderaan dinaiki keluarga itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini