comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir di Johor bakal bertambah buruk, enam sungai lepasi paras bahaya

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor berkemungkinan  bertambah buruk berikutan enam sungai dengan empat daripadanya di Kota Tinggi melepasi paras bahaya pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata sungai yang turut melepasi paras bahaya ialah satu masing-masing di Kluang dan Kulai.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, ia membabitkan Sungai Johor di bandar Kota Tinggi yang naik mendadak melepasi paras bahaya ke 3.40 meter berbanding paras 2.60 meter, Sungai Kepala Orang di Kampung Sri Jaya, Kota Tinggi, melepasi paras bahaya 8.76 meter dan Sungai Linggiu juga melepasi paras bahaya 31.40 meter.

“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang turut melepasi paras bahaya 15.90 meter manakala Sungai Siam di Kampung Siam, Kulai merekodkan paras bahaya 20.95 meter,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, dua sungai di Johor turut mencatatkan paras amaran manakala sembilan lagi berada pada paras waspada.

Dua sungai berada paras amaran membabitkan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat yang merekodkan paras 5.75 meter manakala Sungai Siku di Kampung Murni Jaya, Kulai merekodkan paras amaran 17.86 meter.

“Sembilan sungai yang merekodkan paras waspada ialah Sungai Skudai, di Kampung Pasir (0.08 meter); Sungai Tiram di Kampung Dagang (2.90 meter); Sungai Ayer Hitam di Kampung Mawai (3.38 meter) dan Sungai Paya Dato’ (1.21 meter).

“Selain itu, Sungai Ayer Hitam di Pontian (4.75 meter) dan Sungai Sembrong di Batu Pahat (3.01 meter) turut mencatat paras amaran.

“Tiga sungai di Segamat turut mencatat paras amaran membabitkan Sungai Muar di Kampung Awat (19.33 meter); Sungai Muar di Buloh Kasap (8.11 meter) dan Sungai Segamat (36.55 meter),” katanya.

Loading...
Terkini