comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: Ratusan terperangkap di ICQS Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Ratusan orang ramai yang baru keluar dari Thailand terperangkap di hadapan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang selepas laluan keluar dinaiki air hampir satu meter.

Kebanyakan mangsa terpaksa menumpang kenderaan berat seperti lori ataupun menunggu kenderaan agensi penyelamat disebabkan arus deras.

Seorang mangsa, Nazman Nawawi, 53, berkata dia terperangkap selama dua jam di pekarangan ICQS dan akhirnya meminta bantuan seorang pemandu lori untuk pulang ke Pasir Mas.

“Saya pulang ke Patani, Thailand, dua hari yang lalu dan tidak menyangka banjir besar akan melanda. Biasanya, kawasan ini mengambil masa dua atau tiga hari baru naik air paras tinggi.

“Jika tiada yang menumpangkan saya sekeluarga, kami perlu merendah banjir sejauh hampir lima kilometer (km) untuk sampai ke tempat yang benar-benar selamat.

“Alhamdulillah, saya sekeluarga selamat walaupun kereta terpaksa ditinggalkan di kawasan ICQS,” katanya ketika ditemui di hadapan ICQS Rantau Panjang hari ini.

Tinjauan ke kawasan ICQS berkenaan lewat petang tadi, mendapati masih ada sekumpulan kecil pengunjung yang terperangkap dan dibantu agensi penyelamat ke tempat selamat.

Bagi Mashitah Rahman, 35, dia tidak menyangka percutiannya ke Hatyai berakhir dengan pengalaman menakutkan apabila terperangkap di ICQS selama empat jam.

“Saya dapat maklumat Rantau Panjang banjir tetapi tidak menyangka ia seteruk ini, malah Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas juga sudah digenangi air.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan tidur dahulu di rumah tumpangan selamat, sebelum pulang ke Pasir Puteh,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini