comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bantuan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam Perak

 

IPOH: Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM700 kepada seluruh penjawat awam negeri itu selain RM500 kepada semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata bantuan itu yang akan dibayar pada 17 April ini adalah bagi semua gred perjawatan termasuk kakitangan di bawah skim ‘Contract Of Service’ dan ‘Contract For Service’.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ia termasuk kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan (OBJ) dan pegawai sambilan harian, serta pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri.

“Bantuan khas berkenaan membabitkan peruntukan RM5,631,400 dan akan memanfaatkan seramai 7,892 penjawat awam negeri Perak.

“Pemberian ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Pelancaran Lenggong Beef (Daging Lembu Segar Tempatan) di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Sempena program itu juga, penyampaian insentif penghargaan kerajaan negeri turut diberikan kepada 492 pesara kerajaan negeri Perak yang memenuhi kriteria bagi tempoh Julai 2021 hingga Jun tahun lalu membabitkan jumlah RM4,400 seorang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Insentif berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan, membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM1,792,800.

“Kriteria bagi yang layak adalah mereka yang merupakan Pesara Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang berkhidmat selama 15 tahun atau lebih secara terkumpul (aggregate) dalam perkhidmatan awam negeri Perak dan berusia 50 tahun ke atas.

“Selain daripada Pesara Kumpulan Pelaksana yang sudah berkhidmat 20 tahun atau lebih secara terkumpul (aggregate) dalam perkhidmatan awam negeri Perak dan berusia 50 tahun ke atas,” katanya.

Loading...
Terkini