comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Barisan lembaga penjaga dana kekayaan berdaulat Sarawak diumum

 

KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan sembilan ahli Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) dengan dua daripadanya pakar pelaburan dan kewangan asing bagi menguruskan dana itu secara profesional.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata lembaga berkenaan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Sulong Matjeraie sebagai pengerusi.

Lapan lagi ahli lembaga yang dilantik ialah Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Leonard Linggi Jugah; bekas Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan bekas Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Ian John Lo.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan sidang media mengenai Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 2 , Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya Kuching. FOTO: NSTP

Turut menganggotai lembaga berkenaan, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Soedirman Aini; Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Tallat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

Dua pakar strategi pelaburan dan kewangan asing yang dilantik pula ialah Grainne Dooley dari Ireland serta Mohsen Fahmi berasal dari Mesir yang memegang dua pasport Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Abang Johari berkata pelantikan semua ahli lembaga berkenaan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan untuk tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, lembaga penjaga itu adalah multinasional dan merangkumi mereka yang berpengalaman dalam pasaran modal serta modal permulaan awal yang pelbagai.

Menurutnya, semua ahli lembaga terbabit akan melaksanakan tugas secara telus untuk memastikan dana kekayaan berdaulat masa depan Sarawak itu dapat diurus sebaik mungkin.

“Saya percaya dengan pengalaman yang luas serta pengetahuan dan kelayakan profesional yang mereka miliki dapat memastikan dana kekayaan berdaulat masa depan Sarawak akan bergerak ke hadapan dalam mencapai objektifnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pelantikan Ahli Lembaga PenjagaDana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata penubuhan dana kekayaan berdaulat itu berpandukan Prinsip Santiago bagi memastikannya dapat membantu mengekalkan sistem kewangan global yang stabil selain aliran modal dan pelaburan secara bebas.

Dana itu akan mengguna pakai model pemaksimum modal dan berdasarkan dana kekayaan Norway — Dana Pencen Global Kerajaan Norway yang mempunyai saiz dana US$1.25 trilion (US$1=RM4.56).

Malah, model sama turut digunapakai oleh Perbadanan Dana Kekal Alaska (dengan saiz dana US$70.6 bilion) di Amerika Syarikat (AS) dengan semua negara terbabit mempunyai hasil daripada sumber minyak dan gas seperti Sarawak.

Pada 22 November tahun lalu, Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak 2022 sekali gus menyaksikan penubuhan dana itu dengan peruntukan awal RM8 bilion.

Loading...
Terkini