comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi maut, bapa mahu saman pemilik taska

Qaseh Aulia meninggal dunia di sebuah taska di Petaling Jaya pada Selasa lalu, selepas mengalami sesak nafas

KUALA LUMPUR: “Saya rasa sedih dan terkilan kerana baru dua hari anak kami dijaga pengasuh di taska itu dan kini dia sudah tiada,” kata Faizul Ali Adam, 33, yang juga bapa kepada Qaseh Aulia berusia dua bulan.

Terdahulu, bayi perempuan itu meninggal dunia di sebuah taska di Petaling Jaya pada Selasa lalu, selepas mengalami sesak nafas.

Faizul berkata, dia memilih taska itu untuk menjaga anak bongsu daripada dua beradik kerana pernah menghantar anak sulungnya pada 2019.

“Sebelum ini, saya hantar anak sulung, Sofea Madina, 5, di taska berkenaan yang hanya mengambil masa lima hingga 10 minit dari rumah kami sejak dia berusia enam bulan.

“Awal tahun ini, kami pindahkan dia ke taska lain. Sepanjang saya menghantar Sofea di sana, tidak pernah berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Itu sebabnya saya juga menghantar Aulia di taska itu dengan bayaran RM550 sebulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sebelum kejadian, isterinya, Maisarah Rosli, 33, dimaklumkan oleh pemilik taska bahawa terdapat 10 bayi berusia bawah satu tahun di bawah jagaan mereka dengan dijaga empat pengasuh.

“Namun, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu mendapati kurang daripada empat individu yang menjaga mereka,” katanya yang juga kakitangan swasta.

Menceritakan semula kejadian itu, Faizul berkata, isterinya yang baru habis berpantang pada Isnin lalu menghantar Aulia ke taska jam 7.30 pagi, 10 Oktober lalu.

“Saya kemudian dimaklumkan oleh pengasuh yang menemui Aulia dalam keadaan meniarap dengan wajah kebiruan jam 11.17 pagi. Pengasuh memaklumkan dia menghantar anak ke klinik berhampiran sebelum saya meminta dia menghantarnya ke hospital swasta berhampiran.

“Sebaik tiba di hospital berkenaan, saya dimaklumkan oleh doktor bahawa Aulia sudah tiada (meninggal dunia). Saya rasa ralat kerana sewaktu hantar dia ke taska itu, Aulia dalam keadaan sihat.

“Disebabkan itu, saya berhasrat untuk mengambil tindakan saman (sivil) terhadap pemilik taska kerana ada banyak kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Beliau difahamkan taska itu diarahkan tutup sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula esok kerana tidak mempunyai lesen.

Menurutnya, jenazah Aulia selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya pada Rabu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan taska berkenaan tidak mempunyai lesen.

“Kami masih menunggu keputusan bedah siasat terhadap bayi berkenaan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini