comscore
Tumpuan :
Nasional

Beberapa jalan di Kuantan tutup bagi raptai, istiadat keberangkatan balik

KUANTAN: Beberapa jalan di sekitar bandar Kuantan akan ditutup secara berperingkat atau dilencongkan sementara sempena Istiadat Sambutan Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penutupan jalan dilakukan secara berperingkat bermula jam 12.30 tengah hari dan esok bagi perjalanan raptai, manakala penutupan pada Selasa bermula pada jam 11.15 pagi.

Semua jalan terbabit adalah laluan yang akan digunakan bagi Perarakan Diraja bermula dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di Jalan Teluk Sisek.

Penutupan jalan bermula dari lampu isyarat Jalan Panching di Jalan Gambang-Kuantan, antara lain membabitkan susur Kuantan Bypass ke Taman Tas, jalan ke Sungai Isap dan di persimpangan lampu isyarat Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) serta Permatang Badak.

Turut terbabit ialah laluan dari Sungai Isap ke Kompleks Teruntum termasuk susur Jalan Pintasan Bukit Setongkol dan persimpangan lampu isyarat di Jalan Tanah Putih/Wong Ah Jang, Esplanade dan Jalan Mahkota/Penjara.

Jalan dari Kompleks Teruntum ke Dewan Jubli Perak antaranya ialah arah ke Jalan Merdeka, persimpangan Teluk Cempedak/Jalan Tengku Muhammad dan persimpangan lampu isyarat di Teluk Sisek/Tanjung Lumpur dan Kubang Buaya serta simpang ke Taman Gelora, Jalan Padang Golf dan susur Jalan Gambut/Jalan Mahkota. – BERNAMA

Loading...
Terkini