comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas pengurus besar disyaki terima rasuah RM47,000, direman 6 hari

Oleh Baharudin Mohamed

MELAKA: Bekas pengurus besar sebuah agensi badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah RM47,000 pada 2021.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam bermula hari ini selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bagi menjalankan siasatan lanjut.

Terdahulu, suspek berusia 41 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini, jam 9 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Terdahulu, SPRM dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan suspek disiasat kerana meminta dan menerima rasuah wang sebagai balasan memperakukan kesempurnaan projek kerja-kerja Pembersihan, Penyediaan tapak serta Infra dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Pre Prihatin) yang bernilai RM90,000.

“Siasatan awal mendapati suspek memperakukan kesempurnaan projek terbabit dengan balasan meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM47,000 daripada syarikat yang berjaya memperolehi sebutharga berkenaan.

“Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan antara jam 10 malam sehingga 10.30 malam semalam di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda Lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Loading...
Terkini