comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas tebusan Tentera Merah Jepun meninggal dunia

Allahyarham Tan Sri Osman Samsuddin Cassim (bulatan) mengiringi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, ketika krisis tebusan Tentera Merah Jepun menawan bangunan AIA di ibu kota pada 1975.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Osman Samsuddin Cassim, yang menjadi di antara individu penting dalam krisis tebusan bangunan American International Assurance (AIA) di ibu kota oleh Tentera Merah Jepun (JRA) pada 1975, meninggal dunia malam tadi.

Anak saudaranya, Dr Anwardi Jamil, mengesahkan berita pemergian bapa saudaranya itu pada usia 93 tahun.

“Beliau meninggal dunia di Hospital Gleneagles sekitar jam 9.30 malam tadi selepas sehari dimasukkan untuk rawatan kerana demam.

“Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Segambut hari ini, berhampiran pusara arwah isterinya yang meninggal dunia tahun lalu.

“Keluarga dan rakan-rakan akan merinduinya kerana beliau antara orang yang paling baik yang kami kenali,” katanya ketika dihubungi.

Osman berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan selama tiga dekad dengan memegang beberapa jawatan penting antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam di mana beliau telah berkhidmat dari 1 Disember 1980 hingga 31 Julai 1985.

Beliau dianugerahkan bintang kebesaran ‘Royal Order of the Polar Star’ oleh Kerajaan Sweden pada 2009, sebagai penghormatan kerana mengambil risiko menjadi tebusan Tentera Merah Jepun yang terbang ke Tripoli, Libya selepas serbuan terhadap Bangunan AIA di Kuala Lumpur.

Selain Osman, seorang lagi pegawai kerajaan yang mengambil risiko menjadi tebusan dalam kejadian itu ialah Datuk Ramli Omar yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini