comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Cukai yang dipungut antara yang terendah di ASEAN

KUALA LUMPUR: Cukai yang dipungut kerajaan adalah antara yang terendah di ASEAN, yakni hanya 11.8 peratus kepada KDNK berbanding Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab meluaskan asas hasil.

Mulai tahun hadapan katanya, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat.

Kerajaan menurutnya, bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8 peratus ketimbang 6 peratus. Namun, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

“Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

Menurutnya, setelah mengambil kira input pihak-pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan, Kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

“Kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.

“Kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5 hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

Malaysia menurut Anwar, perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.

“Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, Kerajaan dijangka akan melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta EURO. Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa.’ katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini